Nabi Zakaria A.S. atau nama penuh baginda ialah Zakaria bin Yehoiada bin Yusahafat bin Asa bin Abia bin Rehabeam bin Sulaiman (Nabi Sulaiman A.S.) bin Daud (Nabi Daud A.S.), diutuskan untuk memimpin kaum Bani Israel. Siang dan malam tiada henti-henti baginda mengerjakan amal ibadah, memuji Allah yang Esa, dan mensyukuri nikmat yang diberikan.
Sejak beristeri Hanna, ibu saudara kepada Maryam binti Imran, Zakaria mendambakan untuk mendapat anak yang akan menjadi pewarisnya. Baginda terus memanjatkan doanya dan permohonan kepada Allah agar dikurniai seorang putera yang akan dapat meneruskan tugasnya memimpin Bani Israil. Baginda Zakaria A.S. khuatir bahawa bila dia mati tanpa meninggalkan seorang pengganti, kaumnya, Bani Israil yang tidak segan-segan melanggar hukum-hukum agama dan berbuat maksiat, disebabkan iman dan rasa keagamaan mereka belum meresap betul didalam hati mereka, sehingga dengan mudah mereka tergoda dan terjerumus ke dalam lembah kemungkaran dan kemaksiatan. Nabi Allah, Zakaria A.S. khuatir apabila ajalnya tiba dan meninggalkan mereka tanpa seorang waris yang dapat melanjutkan pimpinannya atas kaumnya, mereka akan makin rosak dan makin berani melakukan kejahatan dan kemaksiatan bahkan ada kemungkinan mereka mengadakan perubahan-perubahan di dalam kitab suci Taurat dan menyalah-gunakan hukum-hukum agama.
Kekhuatiran itu selalu mengganggu fikiran Zakaria disamping rasa sedih hatinya bahawa ia sejak kahwin hingga mencapai usia sembilan puluh tahun, Tuhan belum mengurniakannya dengan seorang anak yang ia idam-idamkan untuk menjadi penggantinya memimpin dan mengimami Bani Isra’il. Ia agak terhibur dari rasa sedih dan kekhuatirannya semasa ia bertugas memelihara dan mengawasi Maryam yang dapat dianggap sebagai anak kandungnya sendiri. Akan tetapi rasa sedihnya dan keinginannya yang kuat untuk memperolehi keturunan tergugat kembali ketika ia menyaksikan mukjizat hidangan makanan dimihrabnya Maryam. Ia berfikir didalam hatinya bahawa tiada sesuatu yang mustahil di dalam kekuasaan Allah. Allah yang telah memberi rezeki kepada Maryam dalam keadaan seorang diri tidak berdaya dan berusaha, Dia pula berkuasa memberinya keturunan bila Dia kehendaki walaupun usianya sudah lanjut dan rambutnya sudah penuh uban.
Pada suatu malam yang sudah larut duduklah Zakaria di mihrabnya menghening cipta memusatkan fikiran kepada kebesaran Allah seraya bermunajat dan berdoa dengan khusyuk dan keyakinan yang bulat. Dengan suara yang lemah lembut dia berdoa: “Ya Tuhanku, berikanlah aku seorang putera yang akan mewarisiku dan mewarisi sebahagian dari keluarga Yaa’kub A.S, yang akan meneruskan pimpinan dan tuntunanku kepada Bani Isra’il. Aku khuatir bahawa sepeninggalanku nanti anggota-anggota keluargaku akan rosak kembali aqidah dan imannya bila aku tinggalkan mati, tanpa seorang pemimpin yang akan menggantikan aku. Ya Tuhanku, tulangku telah menjadi lemah dan kepalaku telah dipenuhi uban, sedang isteriku adalah seorang perempuan yang mandul. Namun kekuasaan-Mu adalah di atas segala kekuasaan dan aku tidak jemu-jemu berdoa kepadamu memohon rahmat-Mu mengurniai kau seorang putera yang soleh yang engkau redhai.”
Allah berfirman memperkenankan permohonan Zakaria: “Hai Zakaria Kami memberi khabar gembira kepadamu, kamu akan memperoleh seorang putera bernama Yahya yang soleh yang membenarkan kitab-kitab Allah, menjadi pemimpin yang diikuti, bertahan diri dari hawa nafsu dan godaan syaitan serta akan menjadi seorang nabi.”
Berkata Zakaria: “Ya Tuhanku, bagaimana aku akan memperolehi anak sedangkan isteriku adalah seorang perempuan yang mandul dan aku sendiri sudah lanjut usia.”
Allah menjawab dengan firman-Nya: “Demikian itu adalah suatu hal yang mudah bagi-Ku. Tidakkah aku telah ciptakan engkau, padahal engkau di waktu itu belum ada sama sekali?”
Berkata Zakaria: “Ya Tuhanku, berilah aku akan suatu tanda bahawa isteri aku telah mengandung.”
Allah berfirman: “Tandanya bagimu bahawa engkau tidak dapat berkata-kata dengan manusia selama tiga hari berturut-turut kecuali dengan isyarat. Dan sebutlah nama-Ku sebanyak-banyaknya serta bertasbihlah di waktu petang dan pagi hari.”
KETIKA LAHIRNYA NABI YAHYA A.S
Yahya bin Zakaria (bahasa Arab:يحيى ), (hidup 1 SM – 31 TM) adalah Nabi Islam yang disebutkan dalam Al-Qur’an dan diyakini bahawa Nabi Yahya A.S. hidup selama 30 tahun. Dalam ajaran Kristien, Nabi Yahya A.S. dikenal dengan nama Yohanes Pembaptis. Menurut Al-Qur’an, Yahya atau Yohanes (dalam Kristien) adalah anak Zakaria, dan kelahirannya dikabarkan oleh Malaikat Jibril. (Al-Qur’an 19:7, Al-Qur’an 3:39). Baginda diberi hikmah semenjak masih kanak-kanak. Dia mematuhi orang tuanya dan bukan orang sombong lagi durhaka (Al-Qur’an 19:13). Yahya dipuji di dalam Quran dan Allah memberkahi hari ketika dia dilahirkan. (Al-Qur’an 19:15). Yahya A.S. disebut sebagai orang yang benar, mulia. (Al-Qur’an 6:85, 3:39). Beliau diutus untuk menyampaikan firman Allah.
Nabi Yahya bin Zakaria A.S. tidak banyak dikisahkan oleh Al-Quran kecuali bahawa dia diberi ilmu dan hikmah semasa dia masih kanak-kanak dan bahawa baginda seorang putera yang berbakti kepada kedua orang tuanya dan bukanlah orang yang sombong derhaka. Baginda terkenal cerdik pandai, berfikiran tajam sejak ia berusia muda, sangat tekun beribadah yang dilakukan siang dan malam sehingga berpengaruh kepada kesihatan badannya dan menjadikannya kurus kering, wajahnya pucat dan matanya cekung.
Yahya A.S. terkenal oleh kaumnya sebagai orang alim menguasai soal-soal keagamaan, hafal kitab Taurat, sehingga dia menjadi tempat bertanya tentang hukum-hukum agama. Nabi Yahya A.S. memiliki keberanian dalam mengambil sesuatu keputusan, tidak takut dicerca orang dan tidak pula menghiraukan ancaman pihak penguasa dalam usahanya menegakkan kebenaran dan melawan kebathilan. Yahya A.S. selalu menganjurkan orang-orang yang telah berdosa agar bertaubat dari dosa mereka. Dan sebagai tanda taubatnya mereka dimandikan ( dibaptiskan ) di sungai Jordan, kebiasaan mana hingga kini berlaku di kalangan orang-orang Kristian dan kerana Nabi Yahya A.S. adalah orang pertama yang mengadakan upacara itu, maka ia dijuluki “Yahya Pembaptis”.
Dikisahkan bahawa Hirodus Penguasa Palestin pada waktu itu mencintai anak saudaranya sendiri bernama Hirodia, seorang gadis yang cantik, ayu, bertubuh lampai dan ramping dan berhasrat ingin mengahwininya. Sang gadis berserta ibunya dan seluruh anggota keluarga menyetujui rencana perkahwinan itu, namun Nabi Yahya A.S. menentangnya dan mengeluarkan fatwa bahawa perkahwinan itu tidak boleh dilaksanakan kerana bertentangan dengan syariat Musa yang mengharamkan seorang mengahwini anak saudaranya sendiri.
Berita rencana perkahwinan Hirodus dan Hirodia serta fatwa Nabi Yahya A.S. yang melarangnya tersiar di seluruh pelusuk kota dan menjadi pembicaraan orang di segala tempat di mana orang berkumpul. Herodia si gadis cantik calon isteri itu merasa sedih bercampur marah terhadap Nabi Yahya A.S. yang telah mengeluarkan fatwa mengharamkan perkahwinannya dengan bapa saudaranya sendiri, yang telah membawa reaksi dan pendapat di kalangan masyarakat yang luas. Dia khuatir bahawa bapa saudaranya, calon suaminya, Herodus, dapat terpengaruh oleh fatwa Nabi Yahya A.S. itu dan terpaksa membatalkan perkahwinan yang sudah dinanti-nanti dan diidam-idamkan, bahkan sudah menyiapkan segala sesuatu berupa pakaian mahupun peralatan yang perlu untuk pesta perkahwinan yang telah disepakati itu.
Menghadapi fatwa Nabi Yahya A.S. dan reaksi masyarakat itu, Herodia tidak tinggal diam. Dia berusaha dengan bersenjatakan kecantikan dan parasnya yang ayu itu mempengaruhi bapa saudaranya calon suaminya agar rencana perkahwinan dilaksanakan. Dengan menghias diri dan berpakaian yang merangsang, dia pergi mengunjungi bapa saudaranya Herodus yang sedang dilanda mabuk asmara.
Bertanya Herodus kepada anak saudaranya calon isterinya yang nampak lebih cantik daripada biasa : “Hai manisku, apakah yang dapat aku berbuat untukmu?. Katakanlah. Aku akan patuhi segala permintaanmu. Kedatanganmu kemari pada saat ini tentu didorong oleh sesuatu hajat yang mendesak yang ingin engkau sampaikan kepadaku. Sampaikanlah kepadaku tanpa ragu-ragu, hai sayangku, aku sedia melayani segala keperluan dan keinginanmu.”
Herodia menjawab: “Jika Tuanku berkenan, maka aku hanya mempunyai satu permintaan yang mendorongku datang mengunjungi Tuanku pada saat ini. Permintaanku yang tunggal itu ialah kepala Yahya bin Zakaria orang yang telah mengacau rencana kita dan mencemarkan nama baik Tuanku dan namaku sekeluarga di segala tempat dan penjuru. Supaya dia dipenggal kepalanya. Alangkah puasnya hatiku dan besarnya terima kasihku, bila Tuanku memperkenankan permintaanku ini”.
Herodus yang sudah tergila-gila dan tertawan hatinya oleh kecantikan dan keelokan Herodia tidak berkutik menghadapi permintaan calon isterinya itu dan tidak dapat berbuat selain tunduk kepada kehendaknya dengan mengabaikan suara hati nuraninya dan panggilan akal sihatnya. Demikianlah maka tiada berapa lama dibawalah kepala Yahya bin Zakaria berlumuran darah dan diletakkannya di depan kesayangannya Herodia yang tersenyum tanda gembira dan puas hati bahawa hasratnya membalas dendam terhadap Yahya telah terpenuhi dan rintangan utama yang akan menghalangi rencana perkahwinannya telah disingkirkan, walaupun perbuatannya itu menurunkan laknat Tuhan atas dirinya, diri rajanya dan Bani Isra’il seluruhnya.
Yahya putra Zakaria meninggal lebih dulu daripada ayahnya. Setelah kematian Yahya, perhatian orang-orang yang beriman beralih kepada Nabi Zakaria A.S. yang sudah tua. Mereka meminta pendapat tentang masalah pernikahan antara ayah dan kemenakan yang ingin dilakukan oleh Raja Hirodus, namun sama seperti Nabi Yahya A.S., Nabi Zakaria A.S. juga tetap berpegang teguh pada syariat Taurat bahwa pernikahan semacam itu diharamkan.
Akibat sikapnya ini, Raja Hirodus menjadi marah dan memerintahkan prajuritnya untuk menangkap Nabi Zakaria A.S. Namun rakyat melindungi nabi yang sudah berusia lanjut itu. Sampai pada suatu hari, Nabi Zakaria A.S. bersembunyi di sebuat hutan. Namum begitu, hutan itu dikepung oleh bala tentara Hirodus yang dibantu tentara Romawi. Nabi Zakaria A.S. melihat sebuah pohon besar yang bahagian tengahnya membelah. Masuklah baginda Zakaria A.S. ke dalam pohon itu, sehingga tentara Hirodus tak dapat menemukannya.
Akan tetapi, datang iblis yang menyerupai wujud manusia memberitahukan tempat persembunyian Nabi Zakaria A.S. ini kepada tentara Hirodus. Para prajurit itu sebenarnya tidak terlalu percaya, namun setelah mereka menggergaji pohon yang dimaksud. Mendadak dari pohon itu keluar darah. Dengan demikian cerita tentang terbunuhnya Nabi Zakaria A.S.
Benarkah demikian?
Terdapat dua pendapat yang berbeza mengenai kewafatan Nabi Allah, Zakaria A.S.:
1) Dari Wahb bin Munabbih yang mengatakan bahawa Nabi Zakaria A.S. wafat dia dalam pokok ketika tentera Hirodus menggergaji pokok tersebut.
2) Dari Hadis, Idris bin Sinan, yang mengatakan bahawa pokok itu dibuka oleh Isa A.S. dan Nabi Zakaria A.S wafat seperti orang biasa.
Hanya Allah S.W.T. yang Maha Mengetahui apa sebenarnya yang telah menimpa diri Nabi Zakaria A.S.
Cerita tentang Zakaria dan Yahya terurai di atas dikisahkan oleh Al-Quran:
I. Surah Maryam ayat 2 sehingga ayat 15
II. Surah Ali Imran ayat 38 senhingga ayat 41
III. Surah Al-Anbiya’ ayat 89 sehingga ayat 90
MARYAM
Maryam merupakan anak tunggal kepada Imran, kaum Bani Isra’il, manakala ibunya merupakan saudara ipar kepada Nabi Zakaria adalah seorang perempuan yang mandul. Ibu Maryam merasa hidup tanpa anak sangat sunyi dan membosankan sedangkan dia sangat mendambakan keturunan untuk menjadi pengikat yang kuat dalam kehidupan bersuami-isteri, penglipur duka dan pembawa suka di dalam kehidupan berkeluarga. Seringkali dia merasakan iri hati walaupun melihat burung-burung memberikan makanan kepada anak-anaknya, apatah lagi jika melihat ibu-ibu lain mendukung dan menyusukan anak-anak kandung mereka.
Tahun demi tahun berlalu, usia makin hari makin lanjut, namun keinginan tetap tinggal keinginan dan idam-idaman tetap tidak menjelma menjadi kenyataan. Berbagai cara telah dicubanya dan berbagai nasihat serta petunjuk orang diterapkannya, namun belum juga membawa hasil. Dan setelah segala daya upaya yang bersumber dari kepandaian dan kekuasaan manusia tidak membawa hasil yang diharapkan. Tersedarlah isteri Imran, hanya Allah S.W.T. satu-satunya tempat untuk mengadu dan hanya Dia-lah yang Berkuasa memenuhi keinginannya untuk menimang cahaya mata yang didambakan, meskipun rambutnya sudah beruban dan usianya sudah lanjut. Maka dengan tekad, dia membulatkan harapannya hanya kepada Allah S.W.T. bersujud siang dan malam dengan penuh khusyuk dan kerendahan hati bernadzar dan berjanji kepada Allah apabila permohonannya dikalbulkan, dia akan menyerahkan dan menghibahkan anaknya ke Baitul Maqdis untuk menjadi pelayan, penjaga dan memelihara rumah suci itu dan sesekali tidak akan mengambil manfaat dari anaknya untuk kepentingan dirinya atau kepentingan keluarganya.
Harapan isteri Imran yang dibulatkan kepada Allah tidak sia-sia. Allah telah menerima permohonannya dan mempersembahkan doanya sesuai dengan apa yang telah disuratkan dalam takdir-Nya bahawa dari suami isteri Imran akan diturunkan seorang nabi besar. Tanda-tanda permulaan kehamilan yang dirasakan oleh setiap perempuan yang mengandung tampak pada isteri Imran yang lama kelamaan merasa gerakan janin di dalam perutnya yang makin membesar. Alangkah bahagia si isteri yang sedang hamil itu, bahawa apa yang di idam-idamkannya itu akan menjadi kenyataan; dan kesunyian rumah tangganya akan terlerai apabila bayi yang dikandungkan itu lahir. Suasana suram dan sedih yang dulunya selalu meliputi rumah tangga Imran kini menjadi riang gembira, wajah sepasang suami isteri Imran menjadi berseri-seri tanda suka cita dan bahagia.
“Manusia merancang, Tuhan menentukan”, suami yang dicintai dan sayanginya serta diharapkan akan menerima putera pertamanya dan mendampinginya dikala ia melahirkan, tiba-tiba menerima panggilan Illahi, ditarik nyawa Imran oleh Izra’il. Maka, tinggallah isterinya seorang diri dalam keadaan hamil tua, pada saat mana rasa cinta, kasih dan sayang antara suami isteri menjadi makin mesra. Rasa sedih yang ditinggalkan oleh suami yang disayangi bercampur dengan rasa sakit dan letih yang didahului kelahiran si bayi, di saat-saat dekatnya masa melahirkan. Setelah segala persiapan untuk menyambut kedatangan bayi telah dilakukan dengan sempurna lahirlah ia dari kandungan ibunya yang malang menghirup udara bebas. Agak kecewalah si ibu, setelah mengetahui bahawa bayi yang lahir itu adalah seorang puteri sedangkan dia menanti seorang putera yang telah dijanjikan dan bernadzar untuk dihibahkan kepada Baitul Maqdis.
Dengan nada kecewa dan suara sedih berucaplah dia seraya menghadapkan wajahnya ke atas: “Wahai Tuhanku, aku telah melahirkan seorang puteri, sedangkan aku bernadzar akan menyerahkan seorang putera yang lebih layak menjadi pelayan dan pengurus Baitul Maqdis.
Demikianlah maka tatkala Maryam diserahkan oleh ibunya kepada pengurus Baitul Maqdis, para rahib berebutan masing-masing ingin ditunjuk sebagai wali yang bertanggungjawab atas pengawasan dan pemeliharaan Maryam. Dan kerana tidak ada yang mahu mengalah, maka terpaksalah diundi diantara mereka yang akhirnya undian jatuh kepada Nabi Zakaria A.S. sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah S.W.T kepada ibunya. Tindakan pertama yang diambil oleh Zakaria sebagai petugas yang diwajibkan untuk menjaga keselamatan Maryam ialah menjauhkannya dari orang ramai sekeliling dan jangkauan para pengunjung yang tiada henti-hentinya berdatangan ingin melihat dan menjenguknya. Ia ditempatkan oleh Zakaria di sebuah kamar diatas loteng Baitul Maqdis yang tinggi dan tidak dapat dicapai melainkan dengan menggunakan sebuah tangga. Nabi Zakaria mencurahkan cinta dan kasih sayang sepenuhnya kepada Maryam untuk menggantikan anak kandungnya yang tidak kunjung datang. Setiap ada kesempatanm baginda Zakaria datang menjenguknya, melihat keadaannya, mengurus keperluannya dan menyediakan segala sesuatu yang membawa ketenangan dan kegembiraan baginya. Tidak satu hari pun Zakaria pernah meninggalkan tugasnya dari menjenguk Maryam.
Rasa cinta dan kasih sayang Zakaria terhadap Maryam sebagai anak saudara isterinya yang ditinggalkan ayahnya meningkat menjadi rasa hormat dan takzim tatkala terjadi suatu peristiwa yang menandakan bahawa Maryam bukanlah gadis biasa sebagaimana gadis-gadis yang lain, tetapi ia adalah wanita pilihan Allah untuk suatu kedudukan dan peranan besar di kemudian hari. Pada suatu hari tatkala Zakaria datang sebagaimana biasa, mengunjungi Maryam, Baginda melihat Maryam disalah satu sudut sedang khusyuk mengerjakan sembahyang sehingga tidak sedar akan kehadiran bapa saudaranya yang datang menjenguknya. Alangkah terkejutnya Nabi Zakaria A.S. apabila terlihat berbagai jenis buah-buahan musim panas di hadapan Maryam. Lalu, Baginda bertanya dalam hatinya, dari manakah gerangan buah-buahan itu datang, padahal mereka masih lagi berada pada musim dingin dan setahunya, tidak ada seorang pun selain dari dirinya yang datang mengunjungi Maryam. Baginda tidak sabar menanti anak saudaranya selesai sembahyang, lalu mendekati kepadanya.
Maka ditegurlah Maryam tatkala setelah selesai dia bersujud dan mengangkat kepala: “Wahai Maryam, dari manakah engkau memperolehi rezeki ini, padahal tidak seorang pun mengunjungimu dan tidak pula engkau pernah meninggalkan mihrabmu? Selain itu buah-buahan ini adalah buah-buahan musim panas yang tidak dapat dibeli di pasar dalam musim dingin ini.”
Maryam menjawab: “Inilah peberian Allah kepadaku tanpa aku berusaha atau minta. Di waktu pagi tatkala matahari sedang terbit, aku mendapati rezeki ini sudah pun berada di depan mataku, demikian pula bila matahari terbenam di waktu senja. Dan mengapa engkau merasa hairan dan takjub? Bukankah Allah Yang Maha Berkuasa memberikan rezekinya kepada sesiapa yang Dia kehendaki dalam bilangan yang tidak ternilai besarnya?”
Demikianlah Allah telah memberikan tanda pertamanya sebagai mukjizat bagi Maryam, gadis suci, yang dipersiapkan oleh-Nya untuk melahirkan seorang nabi besar yang bernama Isa A.S. Kisah lahirnya Maryam dan pemeliharaan Zakaria kepadanya dapat dibaca dalam Al-Quran surah Ali Imran ayat 35 hingga 37 dan 42 hingga 44.
No comments:
Post a Comment